Petiakanlah Sdr akan sunyinya tanah pada detik ini. Sepi hingga keberadaan angin lembah melayah dirasai. Dunia membungkam kerana makhluk nirjasad yang membuak entah sampai bila.
Saya sukar mengetap bibir mata kebelakangan ini. Ada gangguan dalam benak ini yang merencat waktu rehat saya yang tidak seenak insan lain. Tetapi, saya juga pusing memikirkan mainan kata Zarathustra yang sangat menekan kompas fahaman moral saya. Ah! Mungkinkah tiba waktunya saya bersengketa dengan maharaja siang kembali?
Adakah individu sepenuhnya bertanggungjawab terhadap kebersendirian insan lain meskipun sosok itu seorang yang akrab dengannya? Wajarkah ehwal yang sulit dibincangkan 'mewakili' sosok yang lain itu? Bukankah tanggungjawab insan secukupnya berkisar tentang persoalan moral dan etika tanpa menjadi nadi kepada keputusan pihak lain? Saya berasa wujudnya persoalan absurd yang ketara dalam hal-hal ini. Bukankah pengkayaan naluri individu itu perlu diselami dari pemerhatian kendiri yang mencorak akal murni demi keutuhan diri sendiri? Sungguh saya hairan akan 'wujudnya' malaikat kasat di mata yang lagaknya seperti tuan gembala. Dan hal ini membuatkan saya semakin sukar membayangkan bahawa Sisyphus sedang bahagia!
Sungguh sayang. Ia tetap merugikan. Benar terkadang sukar bagi seseorang sedar miliki permata ditangan, kaca juga yang dipilihnya. Dikala yang lain dengan bangga memuja cahaya itu, kita sendiri mempersiakan. Sedangkan peluang bagai kucing lepas senja yang belum tentu akan kunjung tiba. Hargailah sebelum peluang ini pudar. Atau mereka terlebih dahulu ditelan usia.
Comments
Post a Comment