Usai terhentinya hujan bulan juni yang menyesakkan itu, kau pulang ke alam sana dengan titipan lembaran puisi-puisi abadi. "Yang fana adalah waktu, kita abadi." Selamat istirahat buat Pak Sapardi Djoko Damono. Al-Fatihah.
Sungguh sayang. Ia tetap merugikan. Benar terkadang sukar bagi seseorang sedar miliki permata ditangan, kaca juga yang dipilihnya. Dikala yang lain dengan bangga memuja cahaya itu, kita sendiri mempersiakan. Sedangkan peluang bagai kucing lepas senja yang belum tentu akan kunjung tiba. Hargailah sebelum peluang ini pudar. Atau mereka terlebih dahulu ditelan usia.
Petiakanlah Sdr akan sunyinya tanah pada detik ini. Sepi hingga keberadaan angin lembah melayah dirasai. Dunia membungkam kerana makhluk nirjasad yang membuak entah sampai bila.
Saya masih patuh dengan arahan pemerintah untuk kekal di kediaman sendiri. Namun usai sahaja tiba hari satu yang lepas, Saya mula berasa sesak dengan arahan ini. Ditambah pula kekangan bagi sebarang pergerakan keluar. Ada terdetik bagaimana mereka di negeri yang sudah sedia dikurung pemerintah bertahun-tahun lamanya. Masih wujudkah tekanan itu? Atau mereka sudah pun lali dan beradaptasi dengan gaya hidup ini? Bersyukurlah.
Nyata saya hanya melihat alam dengan pancaindera dari sekecil ruang yang ada. Pernah beberapa kali (sebenarnya sering) saya ratapi akan kurangnya mereka yang sudi menyelusuri ujana kesusasteraan ini lebih-lebih lagi bagi mereka yang diwujudkan jelas peluang dihadapan masih tetap mengaburkan diri sendiri dari estetik laman ini. Namun dengan tidak semena saya berjumpa sekelompok kecil mereka yang menongkah laman sastera tanpa kemudi tapi masih berkesan dan mengagumkan dari golongan tidak bersyukur itu. Meski ilham mereka boleh dikira picisan (tidak semua) ia tetap melapangkan dada. Sekurangnya nadi sastera itu masih berdetak walau kian sunyi dan tidak dipeduli.
Dan tamatnya tempoh itu turut melenyapkan juga segala yang dititipkan. Masih sahaja tiada beza. Dicurah kering tanpa ingin menyimpan walau sedikit. Masih sahaja mengecewakan.