Sungguhnya saya rindu ketika mana tinta berjalan lebih pantas melebihi buah fikiran. Ketika saya masih mampu melakar tanggapan yang menjelma, lalu mengubahnya menjadi aksara abadi.
Adakah individu sepenuhnya bertanggungjawab terhadap kebersendirian insan lain meskipun sosok itu seorang yang akrab dengannya? Wajarkah ehwal yang sulit dibincangkan 'mewakili' sosok yang lain itu? Bukankah tanggungjawab insan secukupnya berkisar tentang persoalan moral dan etika tanpa menjadi nadi kepada keputusan pihak lain? Saya berasa wujudnya persoalan absurd yang ketara dalam hal-hal ini. Bukankah pengkayaan naluri individu itu perlu diselami dari pemerhatian kendiri yang mencorak akal murni demi keutuhan diri sendiri? Sungguh saya hairan akan 'wujudnya' malaikat kasat di mata yang lagaknya seperti tuan gembala. Dan hal ini membuatkan saya semakin sukar membayangkan bahawa Sisyphus sedang bahagia!
Sungguh sayang. Ia tetap merugikan. Benar terkadang sukar bagi seseorang sedar miliki permata ditangan, kaca juga yang dipilihnya. Dikala yang lain dengan bangga memuja cahaya itu, kita sendiri mempersiakan. Sedangkan peluang bagai kucing lepas senja yang belum tentu akan kunjung tiba. Hargailah sebelum peluang ini pudar. Atau mereka terlebih dahulu ditelan usia.
Mereka hanya ghairah saat perihal sia-sia diutarakan. Mengecewakan. Mereka dirangsang oleh abet jahat Sang Derhaka. Menakutkan. Dan saya cuma terpanar sendiri. Keliru.
Comments
Post a Comment