Unggulku.

   
 Unggulku,
 Dari sirat-saraf,
 Dan tulang tahun,
 Dari lembar halaman,
 Dan longgok gagasan.
 Yang aku temui,
 Di bawah kulit dan kepala ini,
 Bagaimanakah,
 Akan kutumbangkan untukmu,
 Pecahkan dasarnya,
 Untuk hiburanmu?

 Pendirian ini,
 Ialah rumah maknaku.
 Akan kutembokkannya,
 Dari banjir pemusnah,
 Yang menyerang,
 Seperti amarah tidak berkepala.
                 
 Namun,
 Akan kuangkutnya ke sini,
 Seluruhnya setiap garis, rupa, kata dan warna,
 Yang mewajahkannya,
 Kerana inilah garisan silang kenyataan.
        
 Bagaimanakah akan kucairkan,
 Kolam peribadiku,
 Arca keyakinanku,
 Buat yang hanya,
 Berkelana di lorong samping,
 Atau ghairah di gelanggang mainan,
 Tanpa tafsir atau tujuan?

 Unggul ini unggunku,
 Tiada tawar-menawar,
 Pada bahang atau merahnya,
 Kerana apinya,
 Menyalakan hening,
 Yang kuawasi supaya selalu bersinar.

 Muhammad Haji Salleh,
 November 1973.


Sajak ini adalah hasil nukilan sasterawan negara ke-6 iaitu Muhammad Haji Salleh. Seperti yang dinyatakan oleh Dr Mawar pada sesi kuliah lepas, sajak ini memperlihatkan kehalusan yang tersendiri kesan daripada pengolahan jiwa oleh Muhammad Haji Salleh. Ianya amat puitis, bermakna laksana ujana yang indah sekali.    

Comments

Popular posts from this blog

Zarathustra

Puppeteer